Friday, June 19, 2015

Mengejar Cinta Ilahi

Seorang gadis bertudung labuh sedang memperbetulkan tudungnya di hadapan cermin kereta cikgu Salmah. “Cun dah tu, Dijah! “ tegur zulaika sambil duduk di atas bangku berdekatan dengan tempat meletak kereta para guru. Di sebelahnya, Balqis  yang sedang lahap memakan roti sosej. Kelihatan ramai  pelajar tingkatan empat dan lima sedang berehat pada awal pagi itu. “Tak panas ke pakai tudung labuh?” soal Ainul sebaik sahaja dia menghampiri Khadijah. Khadijah tersenyum tawar. Lalu dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Mak kau doktor, ayah kau pensyarah. So, kau bukan keturunan ustaz ustazah, kan?”
Khadijah mengangguk perlahan. Bibirnya menguntum senyuman manis. Lantas dia mengambil roti tuna dari tangan Ainul. “Thank you!” Khadijah hanya mengambil roti tuna yang telah dipesannya. Dia tidak mahu menghabiskan lima minit terakhir waktu rehat dengan tercegat di hadapan kereta cikgu. Ainul yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang telah diberikan oleh Khadijah pula hanya mengikut langkah Khadijah ke arah pondok berdekatan kantin.
“Lamanya kau beli, Ainul. Beli roti ke buat kilang roti?” perli zulaika selamba.
“Ramai orang kot kat kantin. Nah, roti kau.” Roti sardin gulung bertukar tangan. Lalu, Ainul duduk di antara Khadijah dan Balqis. Tajam mata Ainul memandang hujung tudung Khadijah yang labuh itu.
“Kau terduduk atas tudung kau, Dijah.” Khadijah yang sedang menghabiskan sisa makanannya cuba memperbetulkan kedudukan hujung tudungnya. Labuhnya melebihi punggung.
“Panjang sangat tu, Dijah. Tak nak potong ke?” Kuat suara Ainul yang bertanya. Soalan yang agak sensitif itu.
“Takpa lah. Selesa saja.” Khadijah membalasnya dengan senyuman.
“kalau aku kan, sudah lama aku potong.” Sampuk balqis pula. Straw di kotak minumannya di gigit-gigit.
“ish, korang ni! Khadijah nak jadi ustazah untuk tahun terakhir ni. Apa salahnya?” Kata-kata Zulaika yang berunsur perlian dan sokongan positif sedikit sebanyak menguji iman Khadijah. Bahu Khadijah ditepuk-tepuk perlahan. “Pakai tudung senteng lah best. Nampak kurus gitu.” Komen Ainul. Sememangnya tudung Ainul kurang dua inci dari kedudukan bahunya.
“Ceh, Ainul! Kat luar sekolah pun kau freehair. Rambut berkilat macam model syampu rejoice. Haha..” Zulaika menyinggul lengan Ainul.
“Well..” Tudungnya dikibas-kibas.
“Kalau pakai tudung labuh Nampak gemuk la?”
Khadijah yang diam sejak tadi memberanikan diri untuk bersuara. Mereka bertiga mengangguk laju dengan muka yang tidak bersalah.
“Takpa. Gemuk dengan pahala..”
Haha. Mereka ketawa seperti tak ingat dunia. Namun, Khadijah masih mampu tersenyum. Memang, tahun sebelum-sebelum ini tudungnya agak senteng seperti rakan sekolahnya yang lain. Bermula dari kes apabila kesilapan Mak cik Milah yang menjahit tudung sekolahnya tersangat labuh tidak seperti yang disuruhnya. Pada awalnya, dia juga sangat tidak berpuas hati dengan tudungnya yang labuh seperti pelajar sekolah agama.
“Labuhnya, Mak cik!”
“Takpa lah, Dijah. Tudung labuh ni pakaian Islam. Dijah patut bangga dapat memakainya.”
“Tetapi, Dijah bukan pelajar sekolah agama.”
“Dijah, tudung ni bukan untuk pelajar sekolah agama saja. Tetapi untuk semua perempuan yang beragama.”
Deep. Sudah lima bulan perkara itu berlaku. Tetapi kata-kata Mak cik Milah masih tergiang-giang di gegendang telinganya. Dan kata-kata itulah yang membuatkan dia terus tabah menyarung tudung labuh di kepalanya. Walaupun, perubahan drastiknya itu dipandang serong oleh segelintir rakan sekolahnya.
“Tudung labuh bai! Bila insaf?”
“Wah, ustazah!”
“Eh, kau salah masuk sekolah ni. Ini bukan maahad.”
“Kau pakai tudung ke telekung ni? Labuh gila.”
Kehinaan demi kehinaan. Cacian demi cacian. Kata-kata perlian yang dilontarkan oleh mulut-mulut yang tiada insuran tidak pernah melemahkan imannya. Kini dia sedar, benarlah kata-kata Mak cik Milah. Tudung labuh ini memang untuk orang yang beragama. Kerana jika tidak beragama, akhlak seseorang itu pasti tidak dapat dijaga.
“Alhamdulillah. Aku sudah insaf. Kau, bila lagi?”
“Alhamdulillah. Terima kasih banyak sebab panggil aku ustazah. Nanti aku akan buka kelas agama. Kau boleh join. Demi kau, aku kasi diskaun. Apa macam?”
“Aku salah masuk sekolah? Patutlah terasa asing semacam. Akhir zaman ni, benda baik selalu dipandang asing.”
“Alhamdulillah. Tudung aku serupa telekung? Senang lah aku nak solat nanti. Kalau kau tiada telekung, aku boleh pinjamkan.”
Ya. Terukir senyuman di bibir nipisnya. Dalam waktu yang sama, hatinya pedih seperti dihiris-hiris dengan pisau.
Pakai tudung labuh pun salah ke?
Getus Khadijah. Soalan itu hanya dipendam. Allah ada jawapannya. Kerana Allah Maha Mengetahui.
Jarum jam tepat menunjukkan 11 pagi. Kelihatan ustazah Normah sedang memasuki kelas 5 Ikhsan dengan wajah  yang tenang. “Assalamualaikum, ustazah.”
“Waalaikumussalam. Okey, imam? Tolong baca doa.”
“Kamal. Baca, kamal.” Pinta Afiq tiba-tiba. Dia cuba menyuruh kamal, satu-satunya pelajar lelaki yang pendiam dan pemalu di kelas itu untuk membaca doa belajar.
“Awak lah baca, Afiq. Suruh-suruh orang pula.” Balas ustazah normah. “Saya baca? Suara saya sedap sangat ni ustazah. Takut ustazah melting je..” satu kelas ketawa besar mendengar kata-kata Afiq yang seakan berkata besar dalam memuji diri sendiri. “haktuih!” “Sampai hati husin haktuih dekat saya. Merajuk ah macam ni, hm.” “Awak lah baca, Husin.” Semua pelajar yang dari tadi menadah tangan untuk berdoa tidak henti ketawa. Akhirnya, Husin yang membaca doa belajar sambil di-aminkan oleh pelajar-pelajar lain.
“Hari ini kita belajar bab 6, Hukum menutup aurat.”
“Tajuk ni memang sesuai untk kau, Ainul! Haha” bisik perlahan Balqis yang duduk di hadapan Ainul. Ainul menjeling.
“Okey, Dolah. Baca ayat kefahaman hadis itu. Surah An-Nur ayat 30-31.” Dolah atau nama sebenarnya Abdullah pun patuh dan membacanya dengan bertajwid.
“Dalam ayat itu Allah suruh lelaki dan perempuan yang beriman supaya  menundukkan pandangan daripada memandang yang haram, memelihara kehormatan mereka..”
Tepat mata Ustazah Normah memandang beberapa orang pelajar lelaki yang suka memandang pelajar perempuan di belakang mejanya. Silalah terasa!
“Perempuan yang beriman juga tidak boleh memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir. Selain itu, kena tutup belahan leher bajunya dengan tudung mereka. Haa, saya tengok remaja baya awak semua ni suka pakai tudung. Tetapi, nampak leher. Patutnya pin la, atau jahit terus..”
Perkara ini nampak biasa. Selalu sangat berlaku. Sedangkan Allah sudah pesan awal-awal. Tutup!
“Akhir zaman, ustazah..” satu suara muncul.
“Sebab akhir zamanlah, awak kena kuatkan iman. Jangan mudah terpengaruh dengan ajakan syaitan. Mula-mula pakai tudung labuh. Kemudian, dikecilkan bagi nampak trendy. Lagi satu, awak jangan pakai tudung, buka tudung, pakai tudung. Ini mempersendakan hukum Allah namanya.”
“Bak kata ustaz azhar idrus kita mana boleh ingat kita boleh masuk keluar masuk keluar syurga neraka sesuka hati.”
Seorang pelajar lagi menyampuk. Tak dapat dibayangkan bagaimana rupanya kita andai kita perlu masuk syurga yang nikmat. Kemudian, masuk ke neraka pula. Dijilat  api neraka.  Dan perkara itu berulang-ulang untuk selamanya. Na’uzubillahi min zalik!
“ustazah, kenapa kita kena tutup aurat? Lagi-lagi perempuan. Semua ditutup kecuali muka dan pergelangan tangan. Panas..”
“Panas kat dunia, sementara saja. Kat akhirat, sejuk selamanya!”
Aiman bersuara.
“Agama islam, satu-satunya agama yang mengangkat martabat wanita. Lagi pun, ada banyak kelebihan untuk perempuan yang bertudung berbanding  yang tak bertudung. Nak bezakan orang islam dan bukan islam pun boleh dengan melihat cara mereka berpakaian.”
Ainul Mardhiah. Sejak tadi dia diam. Semua kata-kata ustazah seperti memang ditujukan kepada dia. Dia cuba pekakkan telinga. Tetapi, tak berhasil.
“Ustazah, aurat antara adik beradik apa?”
“Dari pusat ke lutut.”
“Oh…” kedengaran ramai yang berkata sedemikian. Baru tahu agaknya. Ilmu Allah terlalu banyak. Dan masih sangat banyak untuk kita terokai. Itulah ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang membuat kita dekat dengan Allah.
“I love youuuuu!”
“Hee. Love you too, sayang!”
Jerit sepasang kekasih yang duduk bersama di atas puncak bukit. Mereka saling tersenyum bahagia. Dunia ini ibarat mereka yang punya.
“Eew, gelinya!” ujar si cilik, Fatiya yang duduk di antara Aliff dan Ainul. Pipi tembam fatiya dicubit kakaknya kerana geram. Aliff hanya ketawa kecil melihat keletah dua beradik ni.
“Apa adik cakap? Ulang…” lidah fatiya dijelir keluar, kepalanya digeleng-geleng.
“Eee, nakal kan adik ni!”
“Akak lagi nakal. Ber-sweet-sweet dengan abang Aliff. Ibu dengan ayah pun tak sweet macam tu tau, hehe.”
“jeles ke?”
Sampuk Aliff dengan jelingan yang nakal.
“Tiya kecil lagi la. Nak jeles buat apa? 15 tahun lagi Tiya akan berkahwin dengan ustaz. Silakan jeles tau, hihi.”
Kepala dan rambut halus Fatiya digosok-gosok oleh Aliff.
“Ustaz pula? Adik kena jadi ustazah dahulu..”
“Hm, nak dengar Tiya ceramah tak? Apabila dua orang yang bukan mahram berduaan. Maka yang ketiga adalah syaitan.”
Terkedu Aliff dan Ainul yang mendengarnya.  Sangat terasa!
“How did you know, Tiya? Adik kan baru 7 tahun.”
“Tiya terbaca dekat buku nota akak la.” Fatiya membuat muka selamba.
“Sayang, awak ada join kelas agama ke? Share la dengan saya.” Soal Aliff ingin tahu.
“Hm. Ada. Saya join masa Khadijah ajak saya hari tu.” Terang Ainul sambil tangannya ligat bermain dengan rambutnya yang halus.
“Dekat mana?”
“Hm. Dekat mana-mana pun boleh. Sudah, sudah. Tukar topik.”
“Laa, awak ni. Bagus apa, awak ada join kelas agama. Nanti, awak akan pakai tudung labuh. Dapat anak pun soleh solehah. “
“Pakai tudung labuh? Tak mungkin lah. Amboi, awak cerita pasal anak pula. Siapa walid mereka?”
“Siapa lagi kalau bukan mamat yang kacak sebelah awak ni? Haha. Saya.”
Terus merah muka Ainul.  Dedaun kecil yang ada di kepala Ainul disapu lembut. Dia tersenyum.
“Kacak lagi hensem lagi bergaya bakal abang ipar tiya! Woo.” Jelas kelihatan raut muka Fatiya yang tidak ikhlas dalam memuji. Pura-pura agaknya. Satu cubitan lagi hinggap di muka comel fatiya.
“Kawad kaki punya pasal. Habis hitam muka aku ni!” luah Zulaika sedikit kesal. Wajahnya dilihat  100 kali di cermin biliknya. Warna kulitnya tidak akan berubah menjadi putih semula dalam sekelip mata pun!
“Muka hitam boleh dicerahkan dan dibersihkan. Kalau hati hitam dengan maksiat? Fuh. Na’uzubillahi min zalik. “ seloroh Balqis sambil menempek bedak di wajahnya yang sedikit berbelang hasil kawad kaki di bawah terik matahari.
“Pandai kau cakap pasal agama ya! Alhamdulillah. Terbuka juga hati kau. Haha.”
Komen Ainul pula. Tanpa sedar, dia juga sudah sedikit sebanyak menunjukkan perubahan kearah kebaikan. Berkat berkawan dengan orang yang solehah. Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata; nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki sahabat yang soleh.
“Eh, tak ada lah. Aku ada terbaca ayat ni kat internet ; aku pelik dengan manusia yang cuci muka setiap hati tetapi tidak pernah cuci hatinya.” Sentap! Kalau tengah makan mee, boleh tersedak garpu agaknya.
“Tetapi, kenapa muka Khadijah tetap cerah? Berseri-seri macam pengantin. “ Serius sahaja wajah Zulaika ketika mengutarakan soalan.
“Aku pakai produk safi saja..”
“Aku pun! Awat sama ja?”
“Ketika cuci muka kenalah mulakan dengan Bismillah. Sambil-sambil itu, baca selawat. Selain itu, ketika melihat cermin jangan lupa baca doa. Selalu bila kita beli kismis, kita akan dapat free kad doa. Jangan buang pula! Baca dan amal.”
“Doa dia apa? Lupa pula den, hehe.”
“Ya Allah, engkau telah mencipta wajah dan tubuhku sedemikian indah, maka perindahkan pula akhlak dan moralku. Aamiin..”
“Aamiin!”
“Lagi?” soal Balqis.
“Baca surah Yusuf, ayat 4.”
“Kemudian, amalkan solat sunat tahajjud. Wajah orang yang suka bertahajjud memang akan berseri-seri. Selain itu, banyakkan berwudhuk. Sebab, dengan wudhuk yang sempurna. InsyaAllah, dosa dosa kita akan gugur.”
“Eh, sebentar! Aku nak salin. Boleh ulang?”
Lantas tangan Zulaika mengambil kertas dan pen. Terketawa mereka melihat keletah Zulaika.
“Ada satu tertinggal…”
Ainul mula bersuara. Terangkat kening Balqis dan Zulaika.
“Halawatul iman. Kemanisan iman. Orang yang mendapat halawatul iman ni, muka dia akan berseri-seri di samping mempunyai hati yang tenang. Ada banyak cara untuk dapatkan halawatul iman. Antaranya, mencintai sahabat kerana Allah Taala.”
Kagum mereka bertiga yang mendengar. Alhamdulillah! Khadijah mengucap syukur.
Khadijah terus mendakap Ainul Mardhiah. Ainul terpinga-pinga.
“Eh, kenapa ni?”
“Uhibbuki fillah.”
“maksud?”
“Aku sayangkan kau kerana Allah. Tadi kau kata, mencintai sahabat kerana Allah Taala dapat halawatul iman, kan? Aku cuba la ni.”
Terukir senyuman manis di muka Khadijah. Dengan tiba-tiba, mengalir butiran air jernih dari tubir mata Ainul. Ainul membalas dakapan Khadijah dengan dakapan yang erat.
Balqis dan zulaika saling berpandangan antara satu sama lain.
“Nak juga! Nak kena peluk juga!”
Satu dakapan yang erat antara empat sahabat fillah ini. Dengan mengharap, mereka mendapat halawatul iman dari Ilahi.
Semoga persahabatan kami kekal hingga ke jannah, ya Allah!
“Hai, Ainul!”
Sapa balqis terhadap gadis yang sedang membaca buku di pondok sekolah.  “waalaikumussalam.”
“Pergh. Kau perli aku ke apa? haha. Okey, assalamualaikum intan payungku..”
“Waalaikumussalam! Kau tahu tak? Orang yang mula-mula beri salam ini terhindar daripada sifat sombong. Pahala pun dapat.”
“Ya, aku tahu.”
“Yang kau panggil aku intan payung ini dah kenapa? Apa mimpi?”
Sambung Ainul dengan muka yang tak lekang dengan senyuman.  “Dah kata sahabat fillah. Sayang-menyayangi gitu, hehe.” Tangan yang dihulur Balqis, disalami. Awan mula berarak dan bertukar warna. Warna awan menjadi gelap. Angin kuat menampar-nampar mereka.
“macam nak hujan saja!” keluh Balqis.
“hujan itu kan rahmat.”
“Rahmat? Teringat pula aku dekat pencetus ummah Rahmat. Hebat betul dia berdakwah semalam. Menitis juga lah air mata ni. Kau tengok tak?” Teruja pula Balqis apabila bercerita tentang rancangan tv yang islamik itu.
“Gila tak tengok? Haha. Calon suami aku tu.” Selamba Ainul berkata sedemikian.
“Eh, kau! Aku awal-awal lagi dah cop dia. Mana boleh..” Balqis mencebik. 180 darjah wajahnya bertukar. Bertukar masam.
“Lek, Balqis. Dia ada 4 kuota. Bermadu. Okey?” Pujuk Ainul serta merta. Haa. Inilah perempuan. Lelaki soleh senang membuat insan bernama hawa ini jatuh hati. Laju kepala Balqis mengangguk.
Khadijah yang datang dari pintu sekolah sedang memperbetulkan kedudukan tudungnya daripada terbang kerana ditiup angin. Penuh berhati-hati dia berjalan agar auratnya kekal dipelihara.
“Kuatnya angin!” teriak Khadijah dari jauh.
“Jaga tudung masing-masing! Nanti terbang!” Pesan Zulaika pula yang  tiba-tiba datang dari belakang Ainul dan Balqis. Balqis cepat-cepat betulkan kedudukan tudungnya yang sudang terbang separuh. Sedangkan, Khadijah sangat tenang dengan tudung labuhnya.
“Pakai tudung labuh yang bulat ni best! Senang nak kawal.”
Saat angin meniup kuat, saat itulah si hawa akan berasa sedar betapa pentingnya tudung labuh. Selamat!
“Allah perintahkan perempuan pakai tudung labuh ni bersebab. Sebab Allah nak pelihara kita. Sekarang saja, kita boleh lihat kan?” Khadijah memulakan tazkirahnya.
“Hmm. Baru faham. Tetapi tak kan sebab angin saja?”
“Pakaian yang menutup aurat dapat memelihara  mata para ajnabi. Bukan setakat pakai tudung saja, sahabat fillah sekalian. Tetapi semua anggota badan kita wajib ditutup kecuali muka dan pergelangan tangan..”
“Aku teringin nak pakai sarung tangan macam kau. Tetapi, aku takut orang kata aku hipokrit..” luah Balqis.
“Kalau kita nak buat baik, buat saja! Jangan fikirkan apa orang lain akan fikir terhadap kita. Orang suka menilai. Tetapi, penilaian dari Allah itu lebih penting.”
“kalau kita sendiri berpakaian dengan pakaian yang tak senonoh, jangan asyik salahkan lelaki yang gatal. Salahkan diri sendiri. Nabi Muhammad s.a.w kan pernah bersabda bahawa dunia ini perhiasan. Sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Nampak? Mahal tau kita ni.”
“Eh, Dijah. Emas pun perhiasan. Tetapi kenapa emas boleh ‘dipamerkan’ sesuka hati?”
“Emas dengan wanita berbeza, sayang. Antara mutiara yang tidak pernah disentuh yang disimpan rapi di dalam kotak dan mutiara yang tidak dijaga dan boleh dipegang sesuka hati. Mana satu kau pilih?”
“Mestilah mutiara yg dalam kotak. Terpelihara..” Jawab zulaika spontan.
“kalau perempuan freehair macam aku ni, ibarat mutiara yang tak dijaga lah, ya?” Seakan-akan Ainul terasa hati. Kelat wajahnya.
“Itu dulu, Ainul. Sekarang kau mutiara yang terpelihara dalam kotak. Tidak boleh disentuh. Manusia kan boleh berubah?” Pujuk Khadijah. Terus Ainul tersenyum manis.
“Dijah, Dijah. Dalam surah An-nur ayat 31, Allah perintahkan kaum hawa untuk pakai tudung bawah dada, kan? Kalau tak ikut tak boleh ke?”
“Balqis. Ya, Allah perintahkan sebegitu. Allah cipta kita. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Bila Allah suruh, dengar. Bila Allah larang, akur. Okey?”
“Okey.”
“Bila cikgu suruh masuk kelas, masuk!”
Suara cikgu Akmal tiba-tiba muncul. Tidak sedar pula sudah pukul 1.05 petang. Waktu pembelajaran akan bermula! Mereka hanya tersengih-sengih dan berlari selaju mungkin ke kelas.
“Aku dengan Dijah pergi surau dulu. Korang order la makanan.” Cadang Ainul. “Okey. Surau kat tingkat 2 tau! Jangan sesat pula. Luas mall ni.” Pesan Zulaika.  Khadijah dan Ainul mengangguk tanda faham.
“Ramainya orang! Macam mana nak solat ni? Hmm.”
Keluh Ainul yang manis bertudung merah.
“Rabbi yassir. Wala tu’assir. Rabbi tammim. Bil khoir. Aamiin”                                                    
Kedua-dua kening Ainul terangkat. “Doa apa itu?”
“Doa supaya dipermudahkan urusan…” Khadijah tersenyum.
Mereka terpaksa berasak dan beratur panjang untuk mengambil wudhuk. “kau bukan dah berwudhuk, ke?”
“Memang dah. Saja nak ambil lagi. Sebabnya, orang yang ambil wudhuk walaupun dia susah berwudhuk , dicatatkannya 10 kebaikan. Untung, kan?”
“kalau macam itu. Sebentar lagi, aku ambil wudhuk 10 kali la! Haha.” Perempuan- perempuan yang turut beratur di situ hanya memasang telinga saja. Tazkirah 10 saat yang sangat bermanfaat!
“Telekung tak cukup ni. Telekung sendiri pun tak bawa. Macam mana ni, Dijah?”
“Tak perlu. Kalau kita yakin pakaian yang kita pakai ini sudah menutup aurat, kita kenalah yakin pakaian kita ini boleh dibawa solat.” Yakin sungguh Khadijah berbicara.
“Tangan? Bawah dagu?”
“Pastikan pakai sarung tangan, sarung kaki yang tebal. Untuk bawah dagu, kita tarik bahagian tudung sehingga menutupi dagu. Lagi mudah kalau kita pakai tudung Syria sebagai tudung dalam. Aku pakai tudung Syria dekat dalam sebab aku kurang yakin tudung luar aku jarang atau tak. Kemudian, lekatkan pin tudung di bahagian tudung belakang pada baju. Supaya bila kita sujud nanti, tak ada lah dia jatuh dan ‘sujud’ sekali.”
Panjang lebar penerangan Khadijah.
“Tak sangka! Sebegitu mudah.”
“Islam itu mudah..”
Mudah. Allah yang memerintahkan hamba-Nya untuk solat fardhu 5 waktu sehari semalam. Ia tidak membebankan kita selagi mana kita anggap ia adalah ‘hadiah’ dari Allah.  Hadiah? Ya. Pelbagai kelebihan yang dapat diperoleh hasil solat yang dilakukan. Dari segi kesihatan. Sujud yang betul, membolehkan oksida sampai ke otak. Maka, kita tidak akan mudah mengantuk atau penat.
Sepasang pasangan remaja sedang berpegangan tangan di hadapan kedai bunga.
“Sweet pula mereka tu! Jeles..” bisik Zulaika perlahan.
“Huh. Sweet kalau dah halal..”
“Mereka dah kawin kot! Husnuzhon, Qis.”                                                  
“Baru tingkatan 3 mereka tu. Jiran aku. Aku tahu la.”
“Masa bercinta semua nampak indah. Imam hasan Al-banna kan pernah cakap bahawa kalau kita bercinta 20 tahun pun, yang kita kenal hanya lah lakonannya. Nak tahu perangai sebenar dia, kena kawin. Memang indah bila hari-hari dapat good morning text, good night text, dapat calling-calling, dapat… macam-macam lah kan. Tetapi  agak sayang bila zaman remaja kita digunakan untuk berkepit dgn partner kita. Sedangkan waktu yang ada, kita boleh luangkan untuk belajar, luangkan dengan keluarga dan kawan..”
“Huyyo, Dijah. Cakap macam berpengalaman saja.”
“Semua orang ada masa silam..” ringkas jawapannya.
“wait. Tadi kau cakap kalau nak tahu perangai dia sebenar kena kawin dulu kan? Kalau perangai dia teruk, tak ke malang si isteri tu.” Laju sahaja zulaika apabila menceritakan perihal perkahwinan. Dalam 10 orang crushnya, mungkin salah seorang layak dibuat suami agaknya.
“Ya, kita akan tahu perangai sebenar dia bila kita kawin dengan dia. Sama ada dia penyayang ke, penyabar ke, panas baran ke. Senang je, Zulaika. Nak selamat, kita Tanya orang terdekat  dengan si dia tentang perangai dia jenis macam mana. Contohnya, adik beradik dia, ibu bapa dia, kawan dia. Haa, gitu.”
“Hm. Nampaknya aku kena kenal dengan adik dia dulu. Baru plan aku berhasil!” Ligat sungguh Zulaika memikirkan soal masa hadapannya yang tak pasti.
“Amboi, zulaika! Kau nak lamar siapa? Zahin? wafiq? khai?  Shafiq? Nazar? Udin? Zaqwan? Aiman? Dolah? Atau.. kamal? Haha.”
Cukup 10 orang nama crushnya disenaraikan. Berdekah-dekah mereka ketawa. Zulaika pun tersengih-sengih tersipu malu.
“Tak kesah la siapa antara mereka yang bertuah gila dapat aku. Yang penting, dia jaga solat, dia hormat perempuan. Senang cerita, lelaki yang soleh! Bila dia beragama, InsyaAllah senang la dia nak pimpin aku ke syurga.”
“Nak pasangan yang soleh, kena jadi orang yang solehah dulu. Allah kan ada sebut dalam Al-quran yang lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Begitulah sebaiknya.”
Sambung Ainul bagi melengkapkan perbualan mereka. Bulat mata balqis memandang Ainul.
“Eh, kau dengan Aliff apa cerita?” Keadaan tiba-tiba bertukar serius.
“macam tu la..”
“macam tu macam apa?”
Kedua-dua bahu Ainul diangkat-angkat. Hanya senyuman tawar yang dihadiahkan kepada 3 rakannya itu.
“Comel tak?” soal Ainul.
Ainul sedang memperbetulkan kedutan-kedutan di tudung yang baru dipakainya. Tudung lama yang dia gunakan semasa tingkatan satu masih nampak baru. Tudung labuh itu hanya sempat dipakai seminggu sahaja kerana Ainul tidak sanggup memakainya dengan alasan panas.
“Comel la akak! Macam ustazah Tiya!” teruja fatiya ketika melihat kakaknya di hadapan cermin.
“Tetapi, tiya lagi comel.. hehe.” Sambungnya. Kecil-kecil lagi sudah pandai memuji diri sendiri. Terpengaruh dengan kakaknya mungkin.
Ainul mencadang untuk memakai tudung itu untuk keesokan hari. Apabila sentiasa berjalan bersama Khadijah, Balqis dan Zulaika yang sudah bertudung labuh. Terasa rendah diri pula dia. Tudung labuh vs tudung senteng.
“Tadaa..” beberapa pasang sarung tangan ditunjukkan kepada adiknya. Berwarna warni! Sepantas kilat Fatiya membuka plastik yang membaluti sarung tangan itu sebelum memakainya.
“Akak baru beli ni. Sepasang, RM9. Mahal kan?”
“Mahal! Sebab aurat kita mahal kan?”
“Ya, aurat kita mahal sebab Syurga itu mahal.”
Fatiya tersenyum dan berkata “ Hm, kalau tiya pergi dulu. Tiya terus masuk syurga kan? Tak dihisabkan?”
“ish, apa ni. Tiba-tiba cakap pasal mati. Tiya baru 7 tahun kan. Perjalanan hidup Tiya masih jauh..”
“Mati tak kenal usia kan? Kalau sebentar lagi tiya pergi dulu pun takpa. Tiya nak jumpa arwah ayah, arwah nenek, arwah atuk..”
“Akak pun rindukan mereka. Yang hidup kena teruskan kehidupan, sayang.”
Air mata yang tiba-tiba mengalir diseka. Teringat kata-kata arwah ayah nya dulu
“Kalau ainul betul-betul sayangkan ayah, tolong lah pakai tudung. Jadi anak yang solehah. Ayah takut tak dapat bimbing kamu semua ke arah jalan yang lurus. Ayah takut masuk neraka.”
Ainul sedang tekun mengulangkaji untuk saat-saat terakhir sebelum percubaan SPM. Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar. Ada satu pesanan ringkas yang masuk. Nama ‘sayang’ yang sebelum ini disave di telefon bimbitnya itu telah ditukar menjadi ‘Aliff’.
“Hari ini awak pakai tudung labuh. Comel!”
Isi pesanan ringkas dari Aliff ini membuat Ainul Mardhiah tersenyum riang.
“Alhamdulillah. Dapat juga saya bertudung labuh..” Butang hantar ditekan.
“Awak. Awak dah berubah ke?”
“Bukan berubah. Cuma kembali pada fitrah.’
“Fitrah? Eh, awak. Kalau dating nanti jangan pakai tudung labuh tau. Kolot! Lagipun takut mencemar imej gadis bertudung labuh yang lain saja. Okey?”
“Fitrah manusia adalah menyukai kebaikan. Hm, kolot ke? Okey, saya akan fikirkan pasal tu.”
“Takda lah kolot mana. Hm, entah la awak. Alim sangat kot. Tak trendy pula tu. Awak tengah study ke, sayang?”
Ayu menghela nafas panjang. Terkilan juga apabila kekasih hatinya berkata sedemikian.
“Aliff, awak tak gembira ke saya dah berubah? Dah hijrah? Awak tak nak isteri yang solehah ke? Kan awak pernah cakap dulu. Ya, saya tengah study.”
“Tiba-tiba awak cakap pasal kawin ni kenapa? Bila masa pula saya cakap? Pandai-pandai saja.”
“Dulu cakap lain. Sekarang cakap lain. Apa ni? Bye :( “
“Merajuk pula kau ni. Eh, Ingat aku kesah ke? Dah hijrah, buat cara hijrah. Tak perlu nak merajuk bagai. K.”
Panas sahaja hatinya rasa. Butiran air jernih mengalir di pipi merahnya tanpa disangka-sangka. Telefon bimbitnya terus dicampak ke katil. Buku yang dibaca sebentar tadi terus ditutup. Mood belajarnya terus hilang.
Ayu melihat wajahnya dicermin. Baru semalam wajahnya berseri-seri menyarung tudung labuh. Rakan-rakannya ramai yang suka dengan perubahannya. Tetapi tidak pada hari ini. Hilang keserian wajahnya.
“Menangis lagi! Mata dah sembab! Dah tak comel. Huh.” Getusnya dengan marah bercampur menyesal. Pada hari berikutnya itu, Ainul menerima beberapa pesanan ringkas setelah seharian telefon bimbitnya dimatikan.
“Sorry. Saya kasar dengan awak..”
“Sorry seribu kali sorry, sayang..”
“Balas la…”
“I miss you..”
“Ainul Mardhiah, I love you. Yang ikhlas, Aliff.”
Ainul terfikir sama ada dia perlu gembira atau tidak saat menerima semua pesanan ringkas itu.
“Esok petang kita jumpa tempat biasa.” Balas ainul. Tidak sampai 3 minit, Aliff memberi tindak balas. “Okey, sayang! Jangan merajuk lagi tau.”
“Kita putus..”
“What? You kidding me? No, no sayang. Jangan macam ni.”
Tangan seorang lelaki yang berurat-urat cuba mencapai tangan Ainul tanpa rasa bersalah.
“Jangan sentuh saya!”
“Sejak bila saya tak boleh pegang tangan awak, Ainul?”
Ainul berpeluk tubuh. Aliff hanya menampakkan wajah yang kerisauan.
“Haram la, Aliff. Tolong la faham.”
“Sejak bila awak tahu halal dan haram?”
“Hormat Ainul, please.”
“Macam mana saya nak hormat awak bila awak sendiri tak hormat diri awak, sayang?”
Aliff masih tidak putus-putus bertanya.
“Maksud awak?”  Ainul memandang Aliff dengan pandangan yang tajam.
“Selama ni, awak tak kesah pun orang pegang tangan awak. Orang bertepuk tampar dengan awak. Awak tak kesah orang tengok aurat awak. Hm, sorry. Saya terlalu jujur..” Terang Aliff panjang lebar.
“Sebab Ainul jahil..”
“Saya ada sayang. Saya boleh bimbing awak. Till jannah.”
“Till jannah? How? Dengan couple?” Terkedu Aliff mendengar setiap butir perkataan yang diucapkan oleh jantung hatinya itu.
“3 tahun sayang. 3 tahun kita couple. Tak kan awak nak tinggalkan saya selepas 3 tahun?” Wajah Ainul ditenung lama. Hatinya hancur apabila Ainul meminta untuk putus.
“Kawan. Better kan?”
“No. saya nak lebih daripada kawan.”
“Lebih daripada kawan? Boleh. 7 tahun lagi. Awak jumpa ibu saya. Kita bina hubungan yang halal.” Dengan rasa yang berat hati, Ainul meninggalkan Aliff di pondok kayu itu. Aliff terpinga-pinga. Adakah hubungan dia dengan Ainul yang berdiri utuh selama 3 tahun itu akan berakhir begitu sahaja? Dia mengejar Ainul lalu menggenggam erat tangan gadis itu.
“I love you so much, sayang. Please, jangan buat saya macam ni..”
Rayu Aliff. Ainul mendongak memandang Aliff yang sudah berdiri di hadapannya. Rasa bersalah mengusai diri. Aliff atau Allah? Dia harus memilih.
Air jernih mengalir dari tubir mata Aliff tanpa diduga.
“Aliff, awak nangis ke?” Ainul mulai risau.
“Awak dah tak sayangkan saya kan?”
“Maafkan saya, awak. Saya nak hubungan yang halal. Hubungan yang diredhai Allah. Assalamualaikum, Aliff.”
“Ainul!” jeritan Aliff hanya sia-sia. Ainul tidak menyahut. Bayangan Ainul hilang begitu sahaja.
“Apa salah aku, ya Allah?” keluh Aliff. Sisa air matanya diseka.
“Dah, jangan nangis Ainul. Kau dah buat keputusan. Mungkin ini memang terbaik untuk kau dan Aliff.” Pujuk Zulaika. Merah betul mata Ainul akibat terlalu banyak menangis.
“Aku sayangkan dia. Tetapi, aku tak nak dia terus dapat dosa sebab aku. Aku takut dia lalai sebab aku. Aku takut dia asyik ingat aku sampai dia lupakan Allah. Sedangkan aku? Aku selalu fikirkan tentang dia hingga aku lupa pada Dia. Sedangkan Dia selalu ingat pada aku. Sentiasa ada dengan aku..”
“Kau menyesal ke tinggalkan dia?”
“Aku tak tinggalkan dia. Aku minta Allah jaga. Biar aku dan dia kejar cinta Allah dulu. Kalau memang dia untuk aku, kami pasti akan tetap bersama. Aku percaya dengan Allah.”
Sudah dua bulan Ainul berpisah dengan Aliff. Setiap kali mereka terserempak, Aliff akan memandang Ainul dengan pandangan yang tajam. Pandangan yang penuh ketidakpuashatian.
“Ainul!” Ainul baru mencadang untuk mengelakkan diri tetapi gagal. Hanya ada satu laluan di situ. Di situ hanya mereka berdua.
“Kenapa awak tak nak pandang saya, Ainul? Kalau awak pandang saya, boleh melting ke?”
Sudah lama Aliff memendam. Soalan yang sudah lama bermain-main difikirannya Berjaya juga ditanya. Ainul menggelengkan kepala.
“Tak, saya jaga pandangan..” Panas telinga Aliff mendengarnya.
“Jangan la hipokrit sangat.” Nah! Puas hati Aliff dapat menghinanya, Biar Ainul sedar yang perubahannya hanya lakonan semata-mata. Ainul tersenyum manis. Sakit dan perit hatinya hanya Allah yang tahu.
“Hipokrit atau tak, biar Allah yang menilai. Orang yang berbuat jahat sedangkan Allah terlalu baik dekat dia. Haa, itu baru hipokrit. Hipokrit dengan Allah.”
“Ceramah pula! Dah la. Bye, ahli syurga.”
Hanya lemparan senyuman yang mampu Ainul balas. Ujian itu pahit kerana ganjarannya manis. Syurga Allah, tunggu aku!
“Seminggu lagi SPM. Ainul dah bersedia?” soal ibunya sambil melilau-lilau matanya melihat nota-nota yang ditampal di dinding.
“InsyaAllah..”
“Tidur awal. Jangan asyik tidur lewat saja. Study, study juga. Kesihatan tetap kena jaga.” Pesan ibunya yang risau melihat dia tidur tidak kena dengan waktu. Ainul lebih suka berjaga malam. Kadang-kadang, dalam sehari dia akan tidur 3 jam sahaja. Ibunya memegang dahi Ainul. Panas!
“Kan dah demam. Makan ubat.” Ainul mengangguk dengan bibir yang masih mengukir senyuman.
Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Tenang hatinya dapat melakukan solat sunat taubat, solat sunat tahajjud dan solat sunat hajat.
“Ya Allah, ya Tuhanku. Ampunilah dosaku, dosa kedua-dua ibu bapaku, dosa rakan-rakanku, dosa guru-guruku, dosa orang yang aku sayang, dosa orang yang selalu mendoakan aku, dosa semua muslim dan muslimat. Ampunilah dosa kami yang kecil, dosa kami yang besar. Ampunilah dosa kami yang lalu, dosa kami yang akan datang. Ampunilah dosa kami yang sengaja kami lakukan dan dosa yang tidak sengaja kami lakukan. Aamiin..”
Pipinya basah dengan air mata taubat.  Teringat dia akan dosa-dosanya. Banyak. Sedangkan hati ini sangat merindukan syurga.  Dia gembira dapat dating dengan Allah.  Dan hatinya sangat tenang. Dari tadi dia asyik terbatuk-batuk saja. Namun, bacaan Al-Quran tetap diteruskan.
“Ainul! Bangun! Sudah pukul 6 lebih. Tak nak sarapan ke?”
Pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Puas ibunya memanggil. Tetapi, tidak disahut. Nasib baik biliknya tidak berkunci!
“Sayang..?”
Ainul Mardhiah lengkap bertelekung. Al-Quran dalam dakapannya. Tasbih di tangan kanannya. Dia terbaring kaku di atas sejadah. Sisa air matanya masih ada. Mukanya pucat!
“Ainul! Bangun, ainul..”
Hati ibunya berasa sangat resah. Laju jantungnya berdegup. Lekas dia menggoncangkan badan Ainul dengan harapan dia akan bangun. Ainul berada dalam dakapannya. Ya, Ainul sudah berhenti bernafas..
“Allahu akhbar! Ainul! Jangan buat ibu macam ni. Bangun, sayang..”
Air matanya mengalir seperti hujan lebat. Dikucup dahi anaknya itu beberapa kali.
“Kenapa akak senyum? Akak tengah tidur kan, ibu?”
Soal Tiya yang sudah bersiap untuk ke sekolah.
“Kak ainul sudah tiada, Tiya.. “
2 Patah perkataan. “Sudah tiada.” Yang membuat hatinya hancur. Tiya terus mendakap Ainul dan ibunya seerat mungkin.
“Kenapa akak pergi dulu? Patutnya Tiya pergi dulu. Siapa nak jaga ibu kalau bukan akak? Tiya kecil lagi, Tiya tak reti. Kasi la Tiya jumpa arwah ayah, arwah nenek dan arwah atuk dulu.. Biar la Tiya tunggu dekat pintu syurga dulu..” Panjang lebar keluhan si cilik ini. Bajunya basah. Basah dengan air mata.
“Assalamualaikum kepada semua pelajar dan guru. Hari ini kita kehilangan seorang pelajar dari kelas 5 Ikhsan………. Ainul Mardhiah Binti Muhammad.”
Bicara cikgu Aina yang disertai dengan tangisan mampu membuat ramai yang sakit jantung!
Semua pelajar saling berpandangan antara satu sama lain.  Khabar yang sangat sukar dipercayai.
“Ainul? Biar betul?”
“Oh, Ainul yang cantik tu ke?”
“Ainul yang putih tu ke?”
“Eh, arwah sakit apa?”
Pelbagai soalan yang diutarakan. Suasana menjadi gamat seketika. Zulaika, Balqis, dan Khadijah yang tidak tahu apa-apa tidak mampu berkata-kata. Hanya air mata yang berbicara. Mereka saling berpelukan.
Kenapa cepat sangat kau pergi, Ainul !?
Tiba-tiba Aliff datang menghampiri mereka. Matanya merah.
“Apa ni? Kenapa tak bagitahu aku yang dia sakit?”
“Aliff, kami tak tau langsung yang dia sakit..” Balas Zulaika tanpa memandang muka Aliff.
“Aku sayang dia lagi. Tahu tak?” Terasa seperti sebilah pisau tajam yang menikam-nikam dirinya. Pedih!
“Kami pun sayang dia! Yang kau layan dia macam sampah kenapa? Kau tahu kan dia baru kehilangan ayah dia? Kau tahu kan dia satu-satunya harapan ibu dia? Kau tahu kan dia orang susah? Banyak ujian yang dia kena tempuh, tahu tak? Dia sudah berubah pun, kau anggap dia macam orang asing. Sebab dia tinggalkan kau kan? Biar lah dia kejar cinta Allah dulu..”
Balqis meluahkan segalanya sambil tangan yang asyik-asyik menghapuskan air matanya. Terkedu Aliff mendengarnya.
“Hmm,  Aku tak rasa dia masih ada perasaan kat aku. Dia pernah katakan aku suatu ayat dekat aku. Ayat terakhir dari dia. Tetapi, aku tak tahu apa maksud dia.”
“Apa dia?”
“Uhibbuka Fillah Abadan abada..”
“Dia sayangkan kau kerana Allah, selama-lamanya..”
Terduduk Aliff dibuatnya. Kaki dia lemah.
“Apa aku dah buat ni?
Aku layan kau dengan teruk, Ainul..
Maafkan aku.. “
Cinta. Cinta itu anugerah. Dapatkan cinta Pencipta dahulu sebelum mencintai ciptaan-Nya. Kadang-kadang kehadiran seseorang itu Allah nak uji. Sama ada kita lebihkan dia atau Dia. Allah yang hadirkan dia dalam hidup kita. Dan Allah boleh tarik dia dalam kehidupan kita.
Berubah itu mudah. Tetapi, istiqamah itu sangat payah. Hati yang tabah dan iman yang kuat diperlukan dalam penghijrahan. Kerana banyak duri tajam yang perlu dilalui sehingga kaki Berjaya menjejaki Syurga Allah. Saat ini kita kenal, siapa kawan dan siapa lawan. Pesan pada hati, “Kerana Allah, aku harus kuat!”
"Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah"
( Al-Muddatsir ; 74: Ayat 7)
Tinta Comot
Siti Nordiana Mohd Ghani
#cp

No comments:

Post a Comment

apa kata anda ?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers