Wednesday, October 8, 2014

Kisah Nabi Ibrahim


"Wahai Ibrahim, kita mahu ke mana?"
(Tiada jawapan)
"Wahai Ibrahim, kita mahu ke mana?"
(Tiada jawapan)
"Wahai Ibrahim, kita mahu ke mana?"
(Juga tiada jawapan)
Inilah soalan yang diulang-ulang daripada Hajar kepada Nabi Ibrahim a.s, sedang mereka berjalan di tengah padang pasir yang tandus untuk ke Mekah, tiada makanan dan kehidupan, bersama anak kecil mereka Ismail.
Nabi Ibrahim tahu dan rasa betapa beratnya arahan dan ujian daripada Allah yang memintanya agar pergi ke Mekah yang mana ketika itu tidak ada kehidupan. Tidak sanggup baginda menjawap dan melayan soalan isterinya Hajar, kerana terharu perasaanya mengharungi ujian itu.
Melihat Ibrahim tidak menjawap dan diam sahaja, Hajar bertanya,
"Apakah ini arahan daripada Allah?"
Barulah Ibrahim mengangkat muka dan menjawap dengan penuh kerendahan hati,
"Ya."
"Kalau begitu, Allah tidak akan mebiarkan kami."
MasyaAllah. Ini jawapan 'aqidah yang lahir daripada hati Hajar yang empunya hubungan dan keyakinan yang murni kepada Allah. Tenang sahaja dia.
Sesampai saja mereka di Mekah, Ibrahim terpaksa tinggalkan Hajar dan Ismail di sana dan baginda perlu pulang ke Palestin untuk tujuan dakwah. Maka tinggallah mereka berdua anak beranak di satu tempat padang pasir yang tandus, tidak ada makan dan minuman, pohon dan hidupan, manusia dan haiwan.
Sehinggalah setelah sekian lama, akhirnya perut bayi yang mulia Ismail pun berkeroncong dan kelaparan. Mula berasa tidak senang dan menangis seperti biasa seorang bayi yang menangis kerana lapar. Meraung-raung dia, hingga menggoncangkan perasaan ibunya Hajar, mengerahkan tenanganya dan menggerakkan kakinya untuk berjalan, berlari dan mendaki, berulang ke sana ke mari, dari Bukit Sofa ke Bukit Marwa.
Dilihatnya dari jauh seperti kelihatan air, tapi apabila menghampiri hanyalah padang pasir yang kering kontang. 7 kali mengulang alik 2 bukit (bukan dataran) itu.
Allahuakbar.
Seperti mana yang kita tahu, Ismail menghentak-hentak kakinya hingga ditakdirkan oleh Allah keluar air ZamZam yang melimpah ruah hingga mereka boleh meneruskan kehidupan.
Apabila besarnya Ismail, masih di peringkat kanak-kanak, maka pulanglah Nabi Ibrahim buat pertama kalinya untuk melihat isteri dan anaknya yang tercinta setelah sekian lama tidak bertemu setelah hari pertama mereka tiba di Mekah.
Tapi, apa pula ujian yang mendatang setelah itu?
Ibrahim tidur bersama keluarganya dan datang pula mimpi yang cukup dasyat malam itu. Yang mana mimpi para Rasul merupakan wahyu dan mesej dari Allah. Mimpi apakah itu?
Ibrahim menyembelih anaknya kesayangannya sendiri !
Cuba kita bayangkan hati nabi Ibrahim ketika itu. Setelah diperintahkan tinggal anak dan isteri di Mekah yang tandus, berjalan kaki jauh ulang alik Mekah Palestin, kemudian jumpa anak kali kedua yang dalam kedaan sudah besar, lalu tiba-tiba disuruh oleh Allah untuk sembelih pula leher si anak.
Inilah jalur cerita Nabi Ibrahim a.s yang digelar "Khalilullah", kekasih Allah, yang wajib kita tahu, hayati dan cerita pada anak-anak kita. Inilah kisah Nabi Ibrahim a.s yang namanya disebut-sebut oleh seluruh umat selepas itu hingga umat akhir, Allah abadikan nama ini dan wajibkan kita menyebut namanya di dalam solat lima kali sehari.
Ibrahim bukanlah Rasul umat akhir ini, dan syariatnya tidak kita guna pun. Kita adalah umat Nabi Muhamad s.a.w. Tapi mengapa Allah wajibkan kita sebut-sebut dan puji Nabi Ibrahim a.s ini?
Kerana dialah kekasih Allah, yang sangat tinggi cinta dan pengorbanannya kepada Allah.
Marilah kita bukan sekadar tahu dan berulang kali dengar kisah Nabi Ibrahim ini, tapi teladanilah jiwa dan kehidupannya dalam realiti kehidupan kita saat ini.
Wallahua'lam
-Abu Nasr

No comments:

Post a Comment

apa kata anda ?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers